Selasa, Disember 07, 2010

Kem Super Insan 2010

Ahad, 5 Disember 2010. Hari ini awal pagi Arif bangun tidur. Bersemangat agaknya atau terpaksa menukar mindanya daripada bermalas-malasan kepada bersedia untuk menghadiri program yang dijadualkan jam 10.00 pagi nanti. Mengikut jadual, Arif akan menghadiri Kem Super Insan 2010 anjuran In-Person Training and Consultancy di Anjung Tasik, Durian Tunggal dari 5 hingga 8 Disember 2010.

Selepas mengumpul dan memasukkan barangan keperluan ke dalam beg sandangnya, Arif bersalaman dengan Ida. Jam 9.00 pagi, kami berdua bergerak ke Durian Tunggal dan singgah di pekan kecil itu untuk bersarapan. Sambil menjamu selera, aku menasihatkan Arif supaya sentiasa proaktif dan menjaga nama baik keluarga dan berharap dengan menghadiri kem motivasi ini akan dapat mengubah sikapnya menjadi lebih positif.

Jam 10.00 pagi, kami sampai ke destinasi. Memang menarik pemandangan di tempat ini dan lokasinya bersebelahan Empangan Durian Tunggal. Sewaktu mendaftarkan Arif, tanpa disangka, berjumpa rakan lama, Abu Lais, yang sama-sama mendaftarkan anaknya menyertai kem motivasi ini. Aku dan Abu Lais ni sama-sama di bangku sekolah sejak darjah satu di Bukit Baru Primary English School (sekarang SK Datuk Palembang) pada tahun 1971 hingga ke Tingkatan 5 di Sekolah Tinggi St. David. Kemudian masing-masing mencari haluan masing-masing selepas SPM di mana aku meneruskan persekolahan manakala Abu Lais mencari pekerjaan. Nama beliau ni satu masa memang terkenal kerana bermain bolasepak untuk negeri Melaka. Tak sangka berjumpa di sini. Kami bersembang panjang sementara menunggu taklimat ibu bapa oleh pihak penganjur.

Jam 11.00 pagi, anak-anak yang menyertai Kem Super Insan dikumpulkan di satu kawasan manakala ibu bapa diberikan taklimat oleh En. Rohizal Hj. Kasim, Pengarah Urusan In-Person Training and Consultancy.

Menurut En. Rohizal, Chalet Bina Insan Rabiatul Adawiyah merupakan lokasi summer camp tahun kedua buat peserta program bina insan yang sebelum ini menggunakan kemudahan di UiTM Lendu, Alor Gajah. Pendaftaran peserta dihadkan kepada 50 orang satu sesi dan berkemungkinan had peserta ditambah kepada 100 orang pada masa depan sesuai dengan jumlah kemudahan yang sedia ada.

Dalam taklimatnya, beliau berkata Islam merupakan ubat paling mujarab untuk mengatasi masalah remaja hari ini. Setiap keluarga tidak terlepas daripada menghadapi masalah keruntuhan akhlak. Menurut beliau lagi, hasil kajiannya, daripada 10 orang yang diselidiki, 5 orang pasti bermasalah yang biasanya berkaitan dengan keluarga seperti masalah ibu bapa, persekitaran dan lain-lain lagi. Beliau menyarankan supaya ibu bapa supaya membuat check and balance agar anak-anak tidak terjebak dengan gejala tidak sihat dan ibu bapa juga perlu bersifat terbuka.

Sambil memberikan ungkapan 'tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad’, En. Rohizal menyatakan ungkapan ini meminta kita menjadi seorang insan yang terbaik dengan menuntut ilmu agar ianya menjadi panduan kita suatu masa nanti. Katanya lagi kalau kita inginkan dunia, kita perlu kepada ilmu, jika inginkan akhirat pun perlu ada ilmu. Dan jika inginkan kedua-duanya juga perlukan ilmu. Jadi manusia tidak terlepas daripada menuntut ilmu.

Di dalam Kem Super Insan 2010 dan kem-kem motivasi yang lain, beliau menerapkan ISLAM. Huruf I katanya lagi bermaksud ilmu yang akan diperolehi oleh peserta kem. S pula ialah self-esteem iaitu peserta perlu mengenal diri sendiri, sentiasa solat, berhati-hati memilih sahabat, amalkan sunnah Rasullullah SAW dan peka faktor sekeliling.

L pula leadership, iaitu membentuk peserta menjadi seorang pemimpin. A bermaksud Al-Quran perlu dijunjung kerana ia menjadikan manusia cemerlang. oleh itu budaya membaca Al-Quran perlu diterapkan dalam kem ini. A juga bermaksud akhlak perlu dijaga terutama remaja kerana katanya kalau remaja sudah jatuh cinta, markah juga akan jatuh dan berhati-hati dengan ancaman yang akan membuatkan remaja tewas dalam hidupnya.

M merupakan muhasabah diri dan muhasabah diri ini penting untuk melihat kemampuan diri sendiri dan pihak penganjur akan melakukannya dalam sesi kaunseling individu.

Apa yang diharapkan oleh En. Rohizal dan semua fasilitator ialah mendoakan kejayaan anak-anak terutama ibu. Ibu merupakan orang yang paling rapat dengan anak dan ibu lebih tahu naluri anakn-anak. Beliau menyarankan agar kita membudayakan Al-Quran kerana dengan membudayakannya dapat membentuk persekitaran yang baik untuk diteladani anak-anak.

Sebaik selesai taklimat, barisan peserta berbaris menuju ke tapak perhimpunan dan membuat beberapa barisan yang memisahkan lelaki dan perempuan. Mereka kemudian membuat satu ikrar atau sumpah yang diketuai oleh salah seorang peserta yang dilantik. Majlis berakhir jam 11.50 pagi setelah pengenalan kepada para fasilitator.

Setelah mengadakan perjumpaan dengan seorang fasilitator bagi mengetahui latar belakang anak, aku meninggalkan lokasi pada jam 12.05 tengah hari.

Aku mendoakan semoga peserta yang mengikuti program ini akan berjaya sempena kedatangan Maal Hijrah 1432H.























Tiada ulasan:

Catat Ulasan