Ahad, Disember 26, 2010

Sambutan Hari Keluarga KSKP 2010

Mengadakan Hari Keluarga merupakan aktiviti yang paling menyeronokkan di kalangan ahli sesebuah organisasi kerana selain dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan ahlinya, mereka juga diraikan dengan jamuan dan juga hadiah.

Pada hari Sabtu, 25 Disember 2010, aku berpeluang menemani Ida ke lokasi sambutan Hari Keluarga KSKP 2010 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Perpustam. Program diadakan di Hutan Rekreasi Ayer Keroh dan bermula pada jam 9.30 pagi. Walaupun sambutan Hari Keluarga jatuh pada Hari Natal, staf tidak melepaskan peluang untuk bersama ahli keluarga ke program yang telah disusun KSKP itu.

Pukul 9.40 pagi, sebaik selesai bacaan doa, menyusul ucapan daripada Pengerusi KSKP, Raifudeen Abd. Latif. Ucapan seterusnya ialah daripada Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, Pengarah Perpustam dan juga ucapan perasmian oleh YB. Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi Perpustam yang juga ADUN Durian Tunggal.

Pukul 10.00 pagi, peserta dan keluarga mereka dijemput menikmati minuman pagi. Program bersambung pada jam 10.30 pagi dengan acara boling VIP. Dalam acara ini, pegawai dan Pengerusi Perpustam menggunakan sebiji kelapa untuk membaling botol-botol air mineral supaya ianya jatuh.

Bagi kanak-kanak ada acara seperti rebut kerusi dan mencari gula dalam tepung. Untuk dewasa mereka dibahagikan kepada lima kumpulan dan nama-nama kumpulan ialah 9 Jahanam, Jebon, Gegau, Kasi Taruk dan Wacaaa. Acara yang dipertandingkan ialah meniup belon, membaling bola ping pong, membawa bola ping pong menggunakan sudu di mulut, membaling telur kepada pasangan untuk disambut agar tidak pecah dan juga acara teka berat pengarah.

Memandangkan KSKP sebahagian ahlinya terdiri daripada anak-anak muda, suasana menjadi gamat dengan telatah masing-masing dalam menjayakan aktiviti kelab. Namun begitu ianya secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kerja dan masing-masing dapat memberikan tumpuan kepada aktiviti.

Pukul 1.00 tengah hari, diadakan acara cabutan bertuah dan program berhenti sebentar untuk jamuan makan tengah hari. Ianya disambung semula pada jam 1.30 tengah hari. Kumpulan yang memenangi setiap acara mendapat hadiah masing-masing berupa hamper. Kumpulan Jebon memenangi acara keseluruhan. Program selesai jam 2.00 petang. Walaupun penat, masing-masing pulang dengan wajah ceria.























































Tiada ulasan:

Catat Ulasan