Jumaat, Disember 24, 2010

Majlis Ihtifal Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran & Fardhu Ain Kanak-kanak

Ahad, 18 Disember 2010 bersamaan 12 Muharram 1432H. Jam 8.30 pagi, aku, Ida, Ifa, Miza dan Mak Munah ke Masjid Al-Azim bagi menghadiri Majlis Ihtifal Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran & Fardhu Ain Kanak-kanak. Tahun ini seperti tahun lepas, Ifa terpilih untuk membacakan surah-surah yang akan disoal oleh barisan juri.

Majlis ihtifal ialah satu majlis yang biasanya diadakan di penghujung sesi pengajian bertujuan untuk mempersembahkan kepada khalayak terutama ibu bapa hasil daripada kelas pengajian ini. Pelajar yang mendapat markah tertinggi hinggalah ketiga tertinggi terpilih untuk memperdengarkan bacaan hafazan mereka.

Peserta akan duduk di kerusi di hadapan setelah namanya disebut. Mereka biasanya sudah bersedia. Apabila diajukan soalan, peserta perlu menghabiskan bacaan surah yang dibaca sehingga diminta berhenti oleh juri. 5 surah akan dibaca mengikut pilihan juri satu persatu.

Bagi tahap 1, ianya diadakan di Dewan Solat, tahap 2 dan 3 di Bilik VIP manakala tahap 4, 5 dan 6 diadakan di Bilik Santapan Diraja Fasa 2.

Pencapaian Ifa tahun ini tidak memberangsangkan. Tiada persediaan yang lengkap. Kelima-lima surah yang disoal, semuanya terangkut-sangkut. Barangkali lain dihafal, lain pula yang ditanyakan juri.

Pukul 12.00 tengah hari, semua hadirin ke Dewan Solat Utama untuk mendengar ucapan penutup oleh YBhg. Datuk Hj, Mohammad bin Hashim Al-Hafiz, iaitu Imam Besar Masjid Al-Azim.

Majlis kemudian diteruskan dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang iaitu kedudukan tertinggi di dalam kelas dan juga pemenang pertandingan hafazan. Tahun ini Ifa sekadar di tempat ke-3 sahaja.

Aku bersyukur dan berbangga kerana Ifa boleh menghafaz beberapa surah di dalam Al-Quran. Menang atau kalau tidak mengapa. Semoga Allah SWT membuka hatinya untuk lebih mendalami surah-surah lain di dalam Al-Quran. Mudah-mudahan Allah mempermudahkannya...

Tahun hadapan Arif, Ifa, Miza dan Alim akan meneruskan Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran & Fardhu Ain Kanak-kanak yang dijangkakan bermula pada bulan Februari 2011.

Selepas ini murid-murid Kelas Pengajian Tahfiz Al-Quran & Fardhu Ain Kanak-kanak akan bercuti selama sebulan.

Pukul 1.00 tengah hari, kami sekeluarga bertolak pulang ke rumah.

















1 ulasan:

  1. eh, nek munah pun ade..

    no.3 pun kira ok la kak Ifa.. :)

    BalasPadam