Jumaat, Disember 24, 2010

Santai di Desa Water Park

Cuti persekolahan sudah sebulan berlalu. Seminggu lagi sesi persekolahan akan bermula. Cuti kali ini tidak dapat dirancang dengan baik dek kesibukan menyelesaikan tugas-tugas seharian menjelang akhir tahun. Cuti kali ini sekadar beriadah di Kuala Lumpur sahaja.

Pada 14 Disember 2010, aku sekeluarga ke Desa Water Park. Taman tema ini pernah aku kunjungi tahun lepas dan aku rasa ianya menarik untuk kanak-kanak. Itu yang membuatkan kami sekeluarga mengunjunginya sekali lagi.

Jam 2.30 petang kami bertolak dari Putra Height ke Desa Water Park. Peraturan taman tema ini tidaklah seketat peraturan di taman tema yang lain. Walaupun ada peraturan, kawalannya tidaklah sehingga memaksa pengunjung mengisytiharkan segala barangan yang dibawa terutama makanan dari luar.

Kami sekeluarga, Mak Munah, Roziah dan anak-anaknya Farhana dan Farhan turut sama ke taman tema tersebut.

Sesampai di sana, Miza dengan Alim tidak sabar-sabar lagi untuk bermain air. Tempat dituju ialah 'Surf Shark' iaitu taman permainan air untuk kanak-kanak. Ifa pula sibuk dengan permainan 'tarzan in town' iaitu aktiviti air yang memerlukan lompatan daripada tiub ke tiub yang lain. Caranya kena pegang tali yang merentas kolam bagi mengelakkan terjatuh ke dalam air.

Sebaik selesai solat Zuhur, aku ke tempat menyewa tube untuk menyewa dua buah double tube.

Arif dan Ifa kemudian menuju ke 'Action River' untuk menyusuri arus sungai yang panjangnya 1200 meter di mana terdapat curahan air seperti air terjun. Aku, Miza dan Alim bersama-sama dengan Arif dan Ifa.

Kemudian kami ke 'Shock Wave' di mana di kolam ini akan diadakan ombak setiap 30 minit dengan pengawasan pengawal kolam. Ombak setinggi 1.5 meter kadangkala mencabar kekuatan fizikal dan mental. Jika ada double tube, baring sahaja di atasnya dan badan terasa dilambung-lambung. Memang menyeronokkan.

Sementara menunggu masa untuk bergembira di 'Shock Wave' lagi, keempat-empat anak ini menuju ke 'Super Tube' untuk merasai pengalaman bermain gelungsur dengan double tube setinggi 30 kaki. Memang menyeronokkan kerana setelah melalui liku-liku gelungsur, akhirnya jatuh pula ke dalam air.

Leka bermain, akhirnya terlepas peluang menikmati 'Thunderbolt', permainan seperti roller coaster air yang dibuka sekali sehari. Peraturan di sini, sebelum jam 5.00 petang, tiub-tiub yang disewa perlu dipulangkan jika ingin mendapatkan deposit semula.

Pukul 6.00 petang kami bertolak pulang ke rumah Roziah di Putra Height. Sesekali dapat meluangkan masa bersama dengan keluarga pasti terhibur rasanya...











































1 ulasan:

  1. nanti bole plan lagik..suka sgt si farhana & farhan..gi ramai² fun sket..

    BalasPadam