Khamis, Mac 22, 2012

Mesyuarat Agung LISTAC Kali Ke-9

Kelab Staf Perpustakaan UTeM (LISTAC) telah mengadakan Mesyuarat Agungnya kali ke-9 pada 21 Mac 2012 bertempat di Bilik Tayangan 2, Perpustakaan UTeM. Ini adalah barisan jawatankuasa baru yang dilantik pada Mesyuarat Agung Ke-8 pada 13 Januari 2011.


Pengerusi dan Timbalannya meminta perhatian ahli untuk memulakan mesyuarat agung.


Ahli kelab kelihatan gembira dijamu dengan makanan segera.


McDonald...


Makan dulu atau mesyuarat?

Majlis bermula pada jam 2.30 petang. Pengacara majlis, Zaidi Saad merangkap Naib Pengerusi LISTAC seperti lazimnya mengalu-alukan kehadiran semua ahli ke mesyuarat agung tersebut. Bagi memberkati majlis, Eiisaa Ahyead, staf di Unit Rujukan memimpin bacaan doa.


Barisan AJK dan Penasihat.


Bacaan doa pembukaan majlis oleh Eiisaa Ahyead.

Memulakan agenda Mesyuarat Agung Kali Ke-9, Pengerusi LISTAC, Mohd. Nasir Hashim dijemput memberikan ucapan alu-aluan kepada ahli kelab. Di dalam ucapannya, Mohd. Nasir merakamkan penghargaan di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh ahli terhadap barisan jawatankuasa yang dilantik. Beliau menyeru ahli-ahli kelab agar bersama-sama menyumbangkan idea dalam memperbanyakkan aktiviti kelab.


Mohd. Nasir Hashim, Pengerusi LISTAC.

Menurut Mohd. Nasir lagi, segala cadangan dan kritikan perlulah melalui saluran yang betul dan rasional bukan berlandaskan emosional semata-mata. Katanya lagi, kritikan yang membina akan dapat menambahbaik perjalanan aktiviti LISTAC.


Ahli yang tekun mendengar amanat Pengerusi.

Mohd. Nasir meminta setiap ahli sentiasa berlapang dada dengan apa yang ada. Katanya pada tahun 2012, ikatan ukhuwah di antara ahli perlu diperkukuhkan dan setiap ahli perlu berganding bahu bersama-sama mencapai matlamat penubuhan LISTAC.


Sesekali lucu juga mendengar nasihat Pengerusi.

Sepanjang tahun 2011, banyak aktiviti dapat diadakan antaranya Majlis Iftar, Majlis Persaraan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, lawatan keluarga staf yang sakit dan meninggal dunia, aktiviti sukan dan lain-lain aktiviti sosial.


Barisan AJK yang sedang memikirkan jawapan semasa pembentangan laporan nanti.

"Biarlah kita tidak dihargai tetapi jangan sampai diri kita tidak berharga", ujar Mohd. Nasir ketika menutup ucapannya dan turut memberikan ucapan penghargaan kepada barisan jawatankuasa LISTAC di atas komitmen jitu mereka.


Tekun meneliti penyata kewangan LISTAC.

Agenda seterusnya ialah ucapan aluan daripada Penasihat LISTAC yang juga Ketua Pustakawan, Hajah Faridah Hj. Md. Amin. Beliau mengucapkan tahniah kepada barisan jawatankuasa di atas tugas dan tanggungjawab yang dipikul dan berharap jawatankuasa dapat menjalankan mesyuarat agung dengan lancar.


Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Penasihat LISTAC.

Beliau berharap pada tahun 2012, LISTAC dapat mengadakan aktiviti yang lebih menyerlah dan memastikan segala perancangan dapat disusun dengan teratur. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan dan penyokong pasukan Perpustakaan+FTK di atas kejayaan dalam beberapa sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Antara Jabatan (SAJ). Pada pukul 2.55 petang, Penasihat LISTAC merasmikan Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-9.


Hajah Faridah Hj. Md. Amin merasmikan Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-9.

Bagi menghargai sumbangan Ahli Jawatankuasa LISTAC 2009/2010, Pengerusinya, Harulrizam Mohamed dijemput untuk menerima sijil penghargaan bagi pihak ahli jawatankuasanya.


Harulrizam Mohamed menerima sijil penghargaan bagi pihak ahli jawatankuasanya.

Sebagai sumbangan kepada jabatan, beberapa peserta sukan yang memperolehi pingat dalam olahraga menyerahkan pingat yang diterimanya kepada Ketua Pustakawan. Majlis kemudian menjemput Mohd. Nasir selaku Pengerusi LISTAC menyerahkan sebakul buah-buahan sebagai cenderahati LISTAC kepada perasmi, Puan Hajah Faridah.


Penasihat LISTAC menerima cenderahati daripada Pengerusi LISTAC.

Perjalanan Mesyuarat Agung kemudian diteruskan dengan tayangan montaj. Dua montaj ditayangkan iaitu montaj kenangan bekas ahli LISTAC, Allahyarham Mohd Effendi Rajali yang kembali ke Rahmatullah pada 20 Februari 2012 dan montaj perjalanan aktiviti LISTAC 2011.


Montaj Kenangan Allahyarham Mohd Effendi Rajali


Montaj Aktiviti LISTAC 2011

Sempena dengan majlis ini, diadakan juga pelancaran blog LISTAC yang baru. Blog ini dibangunkan oleh Zuraidah Amar yang akan mengisi berita-berita dan perkembangan semasa serta aktiviti LISTAC sepanjang tahun.

Perjalanan Mesyuarat Agung Ke-9 diteruskan dengan pengesahan Minit Mesyuarat Agung LISTAC Kali ke-8, pembentangan laporan setiap biro bermula dengan laporan penyata kewangan oleh Arman Mohammad selaku Bendahari Kelab, laporan Biro Kebajikan dan Sosial oleh Azman Amir dan laporan Biro Sukan dan Rekreasi oleh Thaqif Mohd Isa.


Arman Mohammad selaku Bendahari LISTAC membentangkan penyata kewangan.


Pembentangan laporan Biro Kebajikan dan Sosial oleh Azman Amir.


Thaqif Mohd Isa membentangkan laporan Biro Sukan dan Rekreasi.


Ahli-ahli LISTAC mencari isu untuk diketengahkan.


Apa yang lucunya tu...? Salleh nak claim duit minuman...


Tahun ni sukan macam mana?


Makin petang makin lesu..


Minit Mesyuarat Agung LISTAC.

Mesyuarat Agung diteruskan dengan agendanya iaitu perkara-perkara berbangkit dan cadangan daripada ahli. Ramai ahli yang memberikan cadangan untuk penambahbaikan aktiviti LISTAC. Di akhir majlis diadakan juga acara potong kek sempena perpisahan Norlian Mohd Najib, ahli LISTAC yang juga Pustakawan yang bakal menamatkan tugasnya di UTeM sebelum menjawat jawatan baru di sebuah firma di Petaling Jaya.


Norlian memotong kek perpisahan sambil diraikan oleh rakan-rakan.


Menerima cenderamata daripada Pengerusi LISTAC.

Mesyuarat Agung LISTAC Kali Ke-9 berakhir ada pukul 5.00 petang.

2 ulasan: