Sabtu, Oktober 09, 2010

Berilmu Jalannya Payah - Full Version

Aku ditanyakan oleh Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba sama ada aku inginkan bahan untuk program Bicara Tokoh dan aku mengiakannya. Akhirnya bahan ini dapat aku kongsikan dengan semua pembaca blog di sini...





BERILMU JALANNYA PAYAH (Majalah SOLUSI September 2010)

Aruah datukku pernah berpesan, ” Cu, kita ni kalau ada ilmu orang pandang. Tak ada ilmu jadi orang terbuang”. Kalimah keramat itu amat memberi makna kepada hidupku. Bapaku dengan rasa rendah diri seorang penoreh getah selalu memberi nasihat, ”Bapak orang miskin nak. Bapak tak mampu nak tanggung kau ke sekolah. Kalau kau nak ke sekolah juga bapak doakan kau berjaya”. Aku mengerti mengapa bapa kata begitu. Walaupun keluhuran jiwa seorang ayah amat tinggi namun realiti hidup menjadikan aku teruja. ”Apalah yang dapat mak bantu kamu selain menjual kuih, menganyam tikar dan mendoakan kau berjaya ”.Rasa dhaif ibuku terhadap hidup amat ku rasakan disamping doa yang tidak pernah putus untuk kejayaanku.

Lantaran itu waktu tidak berduit aku mengayuh basikal sejauh 60 kilometer pergi balik dari Kampung Pulau, Masjid Tanah hingga ke Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang di bandar Melaka. Walaupun ianya jauh dan meletihkan tetapi semangat menuntut ilmu tidak menjadikan aku patah harap. Ada ketika tayar basikalku pecah dan aku tidak berduit untuk membetulkannya dan terpaksa menolak berbatu-batu jauhnya. Aku masih kental untuk belajar walaupun sekolah tidak begitu meraikan kehadiranku.

Setiap kali aku memasuki kelas, guru kelas akan memanggil namaku untuk membayar yuran bulanan. ”Sidek, where is your school fees?”, ”No teacher” jawabku antara dengar dengan tidak. ”When are you going to pay?” Tanyanya lagi. Semua perhatian pelajar kelas menumpu kepadaku. Aku tunduk malu.Ada kesan psikologi kepadaku. Tapi aku masih tidak berputus asa.

Suatu pagi basikalku kebocoran dalam perjalanan ke sekolah. Aku terlewat sampai ke sekolah. Apabila masuk ke kelas guru bahasa Inggeris bertanya kepadaku, ”Why you are late?”. ”My bicycle puncture sir, Im sorry” jawabku spontan. ”From now on I call you Mr. Puncture” Mendengar usikan guru Bahasa Inggeris itu pelajar-pelajar ketawa. Aku rasa terusik dengan gelak yang memanjang.

Semasa aku di Kelas Peralihan (Remove Class), guru Bahasa Melayu bertanyakan suatu soalan yang sukar untuk dijawab. Guru itu menyuruh aku berdiri di atas kerusi. ”Kamu ”kepala kohok” berdiri atas kerusi. Selagi tak dapat jawab jangan duduk”. Pelajar-pelajar lain memandangku. Aku rasa terhina. Terhina yang amat sangat kerana di panggil ”kepala kohok”. Aku tetap sabar dan semangatku untuk belajar tidak pernah mati.

Suatu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayatku ialah apabila seorang guru matematik di Tingkatan 2D memulangkan buku kerja rumah. Aku memang susah nak faham latihan matematik. Aku menduga tentu banyak kesalahan kali ini, ”Sidek Baba,stand up!”. Guru itu terus memanggil namaku dan aku berdiri. Ia terus membaling buku latihan dan tepat mengenai muka dan batang hidungku. ” Hey Sidek ! You better go back to kampung tanam kacang lagi baik ”. Katanya marah. Pelajar-pelajar lain ketawa apabila buku itu mengenai mukaku. Sekali lagi penghinaan tertimpa kepadaku. Terasa mahu menjerit sekuat-kuatnya. Aku masih sabar dan tekadku masih tinggi untuk belajar. Tanpa ku sedari air mata mengalir dipipiku.

Dalam perjalanan balik aku menangis teresak-esak mengenangkan nasib diri. Tapi apakan daya aku tak berdaya. Mengapa guru-guru tidak bertanya latarbelakang keluargaku, cara aku bersekolah, kepayahan hidup yang aku hadapi. Mengapa guru hanya meraikan murid-murid yang cerdik sedangkan aku yang lemah ini terbiar dan terus cicir. Aku berbisik. Tetapi siapa yang ingin mendengar ratapan ini. Rasanya terlalu payah untuk belajar dan menjadi orang berilmu.

Alangkah bernasih baiknya aku sekiranya ada guru yang tahu bahawa bapaku hanya seorang penoreh getah dan pendapatannya hanya $2.50 sehari. Lebih bernasib baik sekiranya orang mengetahui bahawa aku bersekolah dengan mengayuh basikal sejauh 60 kilometer setiap hari. Yang aku perlukan hanya simpati. Simpati seorang guru membolehkan ia memahami anak muridnya. Dari situ pengertian yang tulus diharapkan dan pertolongan yang ikhlas dalam mendidik diberikan.

Mujur aku tersangkut Grade B dalam Lower School Certificate yang membolehkan aku meneruskan ke Tingkatan 4. Malaysian School Certificate aku mendapat Grade 3 pada tahun 1964, menjadi Guru Sementara di Sekolah Umum Jeram dan masuk ke Maktab Perguruan Idris Tg.Malim(MPSI) selama dua tahun. Di MPSI aku mendapat $40.00 sebulan. Aku kirimkan kepada keluarga $20 darinya dan sepanjang bulan aku hanya berbelanja sekitar $20. Selalunya pertengahan bulan aku sudah kehabisan wang. Aku tetap bersyukur walaupun kehidupan di maktab tidak seperti orang lain.

Di MPSI lagi aku sudah membaca buku-buku yang ada di perpustakaan, sesuai untuk keperluan Sijil Tinggi Persekolahan. Aku bercita-cita untuk pergi lebih jauh lagi walaupun terasa malu untuk menyebutkannya kepada orang lain. Aku menyimpan azam, suatu hari aku akan ke menara gading. Tekad ini tersemat mendalam dalam hati bahawa anak penoreh getah ini kalau diberi peluang boleh pergi jauh seperti orang lain juga.

Sejak mula bekerja pada tahun 1968, gajiku hanya $250.00 sebulan. $100.00 aku asingkan untuk ibu ayahku. $100.00 untuk belanjaku sebulan dan $50.00 lagi aku gunakan mendaftar di Stamford College Gayapos untuk mendapatkan bahan-bahan kurus persiapan Higher School Certificate. Pada waktu itu tidak ada kelas lanjutan di tempat yang berdekatan. Kalau adapun di Bandar Melaka tetapi aku tidak mampu kerana masalah belanja.

Aku mencuba sebanyak tujuh kali. Setiap kali aku mencuba aku tidak mendapat Sijil Penuh. Aku tetap sabar dan tidak pernah putus asa. Aku tahu berilmu tidak mudah dan memerlukan darjah kesabaran dan usaha yang tinggi. Aku hanya dapat Sijil Penuh selepas berumahtangga. Inilah rezeki perkahwinan agaknya.

Aku diterima masuk ke Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu pada tahun 1976. Aku tinggal di Kolej Keempat, aktif dengan Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya dan Persatuan Bahasa Melayu di universiti yang sama. Pada hujung minggu aku balik ke Melaka menziarahi keluarga dan kadang-kadang aku tidak balik menghabiskan masa di Kolej Kelima mendidik generasi pelajar ke arah pemahaman Islam yang lebih komprehensif. Aku terlibat aktif dalam kepimpinan pelajar dan dakwah terhadap mereka.

Setelah tamat Ijazah Pertama di Universiti Malaya aku mendaftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ianya berlangsung selama dua tahun iaitu pada tahun 1983-1985. Kami sekereta dengan kawan-kawan dari Melaka pada setiap hujung minggu ingin mendalami ilmu pengetahuan Islam supaya kefahaman terhadap agama secara ilmu dapat meningkatkan penghayatan diri. Berulang-alik ke Bangi banyak cabarannya tetapi aku menghadapinya dengan sabar dan cekal kerana tanpa pendidikan Islam di tahap tinggi tidak mungkin boleh menjadi seorang pendakwah yang baik. Bagiku ilmu adalah penting. Menganut Islam secara keturunan tidak banyak membawa kita ke mana-mana. Menjadi Islam dengan dukungan ilmu memberi asas baik untuk maju ke hadapan.

Tahun 1985, bermulanya titik-tolak yang amat bermakna dalam hidupku. Aku berkeyakinan bahawa hijrah dan pengrobanan adalah jawapan yang terbaik untukku dalam meneroka ilmu dan meningkat diri. Isteriku berhenti dari menjadi pegawai bank dan kami sekeluarga berhijrah ke Sri Layang, Genting Highland kerana ditawarkan bertugas di Institut Aminuddin Baki. Aku tahu institut ini ada menawarkan peluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi.

Pada tahun 1986, aku ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran untuk belajar ke Amerika di Universiti Indiana, Bloomington dalam bidang Pendidikan Berbanding. Ini merupakan suatu anugerah dari Allah yang amat bermakna bagi kami sekeluarga kerana memang tidak terbayang peluang itu ada dalam hidup kami. Inilah hikmah hijrah dan pengorbanan besar isteriku yang berhenti kerja kerana cita-cita tinggiku untuk belajar dan menguasai ilmu sebanyak-banyaknya. Allah Maha Besar dan memahami cita-cita hambaNya.

Setelah tamat Sarjana Pendidikan Berbanding, aku rasa syukur kerana kajayaan tertinggi ini paling tidak menjadi bekal untuk aku pergi lebih jauh dan menjadi inspirasi untuk kelapan anak-anakku bahawa harus menjadi lebih cemerlang dari ayahnya pada masa depan. Di Amerika Syarikat aku tidak duduk diam belajar saja. Selalunya pada hujung minggu bila berkelapangan aku bertemu dengan pelajar-pelajar Melayu di seluruh Amerika memberikan ceramah dan kesedaran kepada mereka tentang Islam dan peranan umat Melayu apabila kembali ke Malaysia nanti. Rupa-rupanya kerja-kerja sukarelaku itu mendapat perhatian Jabatan Penuntut Malaysia di Amerika Syarikat. Mereka telah membuat perakuan kepada Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur supaya aku menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah supaya peranan mendidik pelajar di sana dapat diteruskan.

Aku amat terharu dan bersyukur pada 14.6.1987 aku menerima panggilan telefon dari Kementerian Pelajaran Kuala Lumpur supaya aku terus menyambung pengajian ke Peringkat Doktor Falsafah bagi membantu pihak Jabatan Penuntut memberi nasihat dan kesedaran kepada pelajar-pelajar Melayu di sana. Sebenarnya aku telah memohon tiket kapalterbang untuk kembali ke Malaysia. Bagiku pencapaian di tahap Sarjana adalah memadai dan untuk pergi lebih jauh ke peringkat Doktor Falsafah adalah terlalu tinggi untuk aku capai. Syukur, hijrah dan pengrobanan isteri yang amat bermakna memberikan peluang untukku belajar lagi.

Pada musim sejuk 1987 aku berpindah ke Universiti Northern Illinois, DeKalb tidak jauh dari bandar Chicago untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Pendidikan. Oleh kerana anakku ramai pihak universiti tidak membenarkan kami tinggal di rumah universiti. Mujur kawan-kawan membantu dan pihak Pusat Islam atau masjid di universiti itu membenarkan kami tinggal di bahagian atas masjid itu. Di waktu umur sudah meningkat 42 tahun dan biasiswa yang terbatas aku hanya diberi US 837.00 setiap bulan dan separuhnya aku kena bayar sewa bilik di masjid itu. Dengan lebih kurang US 400.37 yang berbaki adalah sumber yang tinggal untuk kami hidup anak-beranak.

Tiga tahun aku belajar , dengan wang yang amat terbatas, membuat kunjungan dan menerima undangan pelajar untuk berceramah di seluruh Amerika Syarikat bukanlah suatu hal yang mudah. Kadang-kadang aku di minta ke England dan Amerika Selatan untuk memberikan ceramah dan dakwah atas undangan. Sepanjang tiga tahun di sana hampir semua bandar utama di Amerika Utara dapat aku jelajahi.

Melihatkan kepayahan untuk bertahan dengan cabaran yang banyak isteriku membuat keputusan menjadi baby-siter dan menjual nasi tomato, nasi ayam dan kuih karipap untuk membantu menyara kehidupan kami yang agak susah. Pada hujung tahun 1989 aku menghantar balik ke Malaysia isteri dan anak-anakku kerana bimbangkan hal pelajaran mereka disamping meringankan beban kewangan yang kami hadapi. Hampir setahun aku tinggal seorang diri di masjid berjuang untuk menamatkan pengajian Doktor Pendidikan dengan segala macam kepayahan dan cabaran.

Alhamdulillah, awal tahun 1991 aku berjaya memperolehi ijazah Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar dalam Pendidikan Tidak Formal dan Pendidikan Sepanjang Hayat dalam tempoh tiga tahun. Aku masih ingat sewaktu viva salji turun dengan lebatnya di luar bilik kuliah. Aku percaya isteriku di Malaysia berdoa untuk kejayaanku di waktu itu. Aku masih ingat selepas vivaku lulus aku segera balik ke Muslim House untuk menelefon isteriku mengenai kejayaanku itu. Waktu di Malaysia pada waktu sekitar 4.30 pagi.

”Alhamdulillah abang telah berjaya. Syukur, semua ini adalah pengorbananmu yang tidak ternilai. Akhirnya Allah makbulkan cita-cita bersama. Allah Maha Pengasih dan Penyayang” Lafazku dengan rasa terharu dan syukur.

”Tahniah bang. Syukur kepada Allah. Sekarang abang bergelar Dr. Sidek.” Isteriku teresak-eask gembira menyambut panggilanku. Aku juga menitiskan airmata syukur kerana akhirnya cita-cita yang terpendam dimakbulkan Allah akhirnya. Memang berilmu jalannya payah. Ia menuntut pengorbanan, hijrah dan tekad yang tinggi. Dan aku bersyukur di sebalik kejayaan yang aku capai aku memiliki seorang isteri yang tabah mengharungi susah dan payah. Ia amat memahami pentingnya ilmu sebagai sumber inspirasi kepada anak-anak. Di bawah didikan dan jagaannya terhadap lapan anak-anak yang dikasihi semua di kalangan mereka telah tamat pengajian di universiti dan setengahnya sedang belajar di tahap Doktor Falsafah dan Sarjana. Kami bersyukur kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Mengingat masa laluku yang payah, aku mengalirkan air mata kesyukuran yang tidak terhingga. Allah Maha Besar.

BICARA TOKOH
PROF. DATO’ DR. SIDEK BABA
UIAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan