Selasa, Oktober 19, 2010

Persembahan KIK Peringkat UTeM

Satu persembahan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat UTeM telah diadakan di Auditorium Canselori, Pejabat Pendaftar pada 18 Oktober 2010. Sebanyak 13 kumpulan menyertai program ini dan 8 kumpulan adalah dari Pejabat Perpustakaan.

Di antara objektif KIK ialah untuk menambahbaik dan meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan melalui keupayaan mencipta cara kerja baru atau menghasilkan inovasi, menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan kerja, semangat bekerja secara berpasukan, penyemaian dan penerapan nilai serta etika kerja positif, penglibatan dan peningkatan komitmen terhadap kerja serta dorongan kerja yang tinggi.

Selain daripada itu, ia juga memberi kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap diri sendiri, kumpulan, organisasi dan negara, menggalakkan penghasilan idea-idea inovatif dan kreatif serta mewujudkan hubungan yang harmoni di antara pihak pengurusan dan pekerja.

KIK UTeM terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu KIK dan Jawatankuasa Pelaksana KIK yang dibentuk oleh Pengurusan Tertinggi Universiti. Panel pada hari persembahan ialah Encik Hasan Sirun, Pendaftar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KIK UTeM, Encik Khairul Taib, Bendahari, Puan Hjh. Noraida Attan, Pengarah Pejabat Pembangunan, Prof. Madya Dr. Zulkifilie Ibrahim, Dekan FKE dan Prof. Madya Dr. Burairah Hussin, Timbalan Dekan (A) FTMK. Turut hadir ialah Encik Masdzarif Mahat, Timbalan Pendaftar, Bahagian Dasar dan Kualiti Pengurusan Pejabat Pendaftar selaku Setiausaha Jawatankuasa Pemandu KIK.

Tujuan program diadakan adalah untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Pemandu KIK bagi cadangan projek yang dibentangkan sebelum ianya boleh dilaksanakan di samping memberi peluang kumpulan KIK membuat persembahan dan seterusnya secara langsung memberi kebaikan dan menaikkan imej Pusat Tanggungjawab.

Kaedah persembahan yang ditetapkan kepada semua kumpulan yang bertanding ialah masa persembahan dihadkan kepada 20 minit di mana persediaan (5 minit), persembahan (10 minit) dan sesi soal jawab (5 minit). Semua kumpulan yang bertanding diminta mendengar ulasan panel setelah selesai membuat persembahan bagi tujuan pemantapan dan penambahbaikan kepada projek-projek yang diusulkan. Kategori projek terdiri daripada pengurusan dan teknikal.

Kumpulan-kumpulan yang bertanding ialah:

1. Idea (Pejabat Perpustakaan) - Kehadiran Pengguna Yang Kurang Di Perpustakaan.

2. De Vo (Pejabat Pembangunan) - Kesukaran Membawa Peralatan Menggunakan Motosikal Untuk Kerja-kerja Penyelenggaraan Dan Pembaikan.

3. Fastive (Pejabat Perpustakaan) - Proses Memuat Naik Bahan Koleksi Khas PSM (2007) Ke Portal Perpustakaan Dipertingkatkan.

4. Aspirasi (Pejabat Perpustakaan) - Menggalakkan Peminjaman Bahan (Rak Terbuka) Yang Tidak Pernah Dipinjam Oleh Pengguna Perpustakaan.

5. Cybercorp (Pusat Komputer) - Sistem Pengurusan Manual Korporat Universiti.

6. P-Dimensi (Pejabat Pendaftar) - Terlalu Banyak surat Yang Perlu Disediakan Bagi Tujuan Pemberitahuan Perubahan 'Penyata Perubahan Pendapatan'.

7. Prisma (Pejabat Perpustakaan) - Meningkatkan Kecemerlangan Perkhidmatan Kaunter.

8. Jitu (Pejabat Perpustakaan) - Meningkatkan Jumlah Peminjaman Bahan Perpustakaan Di Kalangan Staf Akademik.

9. L-Care (Pejabat Perpustakaan) - Meningkatkan Kadar Pengeluaran Bahan Dengan Sifar Kesilapan Semasa Penghantaran Bahan Ke Unit Sirkulasi.

10. Global (Pejabat Perpustakaan) - Kehilangan Majalah Popular Setelah Disusun Di Rak Majalah Kini.

11. E-com (FKEKK) - Sistem Komunikasi Penerimaan Surat.

12. Strategy (Pejabat Perpustakaan) - Kesukaran Mendapatkan Semula Dokumen Atau Surat.

13. X-Ten (Pejabat Pendaftar) - Kelewatan Penghantaran Progress Report Staf Cuti Belajar Ke Bahagian Cuti Belajar.

Persembahan kumpulan bermula pada jam 10.00 pagi dan setiap kumpulan diberikan masa sebanyak 20 minit untuk persembahan. Sebaik selesai persembahan, panel memberikan komen-komen atau bertanya kepada ahli kumpulan tentang inovasi dalam projek yang dibentangkan. Setiap ahli kumpulan akan berusaha memberikan jawapan yang terbaik bagi tujuan meyakinkan panel. Program berakhir pada jam 4.30 petang.

Pada pendapat aku, rata-rata pasukan yang pertama kali mengambil bahagian dalam persembahan ini kurang mantap dari segi kekuatan idea dan inovasi projek sehinggakan panel boleh mematahkan hujah ahli kumpulan. Namun begitu ada satu atau dua kumpulan yang aku kira memang telah membuat persiapan yang rapi sejak awal sebaik mereka dimaklumkan program persembahan KIK akan diadakan.



































Tiada ulasan:

Catat Ulasan