Sabtu, Oktober 09, 2010

Festival Membaca 2010 - Program Bicara Tokoh & Majlis Perasmian Penutup Festival Membaca 2010

Rabu, 6 Oktober 2010. Aktiviti terakhir Perpustakaan UTeM sempena Festival Membaca 2010 ialah Program Bicara Tokoh. Program ini disekalikan dengan Majlis Perasmian Penutup Festival Membaca 2010. Tema program ialah 'Menelusuri Kecemerlangan Melalui Pengalaman'.

Seawal jam 2.00 petang, para peserta dan tetamu jemputan hadir dan mendaftarkan diri di khemah yang disediakan di bahagian luar bangunan perpustakaan. Setiap peserta mendapat cenderahati yang disediakan oleh pihak penganjur program. Lebih daripada 100 orang peserta dan tetamu jemputan hadir ke program tersebut yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, pelajar UTeM, jabatan-jabatan kerajaan, pensyarah, staf pentadbiran dan individu tertentu yang dijemput khas.

Pukul 2.05 petang, Engr. Prof. Dr. Marizan bin Sulaiman, Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UTeM yang juga merupakan pemudahcara yang dilantik untuk program ini tiba. Perbincangan ringkas di antara aku, Salleh Mohd Nor dan Prof. Dr. Marizan diadakan bagi memaklumkan secara ringkas perjalanan acara petang itu.

Pukul 2.15 petang, Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba, Professor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang juga merupakan tetamu jemputan Program Bicara Tokoh tiba bersama beberapa orang kenalan dan jemputan beliau di dataran perpustakaan dan disambut oleh pustakawan-pustakawan dan staf Perpustakaan UTeM. Beliau diiring masuk sehingga ke Bilik Menunggu sementara menunggu kehadiran Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan, Naib Canselor UTeM.

Setelah mendapat pengesahan Naib Canselor UTeM tiba lewat sedikit, program diteruskan. Semua tetamu dibawa ke Ruang Legar Perpustakaan UTeM, tempat di mana Program Bicara Tokoh & Majlis Perasmian Penutup Festival Membaca 2010 diadakan. Pukul 2.40 petang, pengacara majlis, Salleh Mohd Nor mengalu-alukan kehadiran tetamu jemputan dan para peserta program dan majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh Mohd Mawardi Badruddin.

Pukul 2.55 petang, pengacara majlis menjemput Engr. Prof. Dr. Marizan bin Sulaiman dan Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba ke pentas untuk memulakan Program Bicara Tokoh. Pemudahcara memulakan majlis dengan memperkenalkan secara ringkas latarbelakang tokoh jemputan, Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba kepada tetamu yang hadir dan kemudian menyerahkan kepada Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba untuk memulakan bicara beliau.

Perjalanan bicara Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba berdasarkan kepada lima tema yang disusun oleh beliau khusus untuk program ini. Tema-tema tersebut ialah Berilmu Jalannya Payah, Menjadi Mahasitua, Hijrah & Pengorbanan, Merantau Dalam Kepayahan dan Menjadi Dekan & Timbalan Rektor. Berdasarkan tema-tema ini, beliau secara perlahan-lahan menarik perhatian peserta menelusuri perjalanan kehidupan beliau yang berasal daripada keluarga miskin dan daripada seorang yang sering gagal dalam peperiksaan kepada seorang yang berjaya dalam pendidikan hasil tekad dan keazaman tinggi beliau. Beliau kemudian menyambung pengajian di luar negara dan akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah. Namun begitu, susur perjalanan kehidupan yang beliau lalui untuk berjaya amat bermakna untuk dikongsi dengan tetamu yang hadir pada program tersebut.

Pukul 3.55 petang, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan, Naib Canselor UTeM tiba di dataran perpustakaan dan disambut oleh pustakawan. Beliau dibawa ke tempat duduk tetamu khas di hadapan pentas. Lima minit kemudian YB Datuk Haji Ab. Wahab bin Ab. Latip, ADUN Durian Tunggal yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia tiba mewakili YB Datuk Hj Yaakub bin Md Amin, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia. Beliau disambut pustakawan dan staf perpustakaan yang lain.

Namun begitu sesi soal-jawab masih berterusan dan dikendalikan oleh Prof. Dr. Marizan bin Sulaiman. Seorang pelajar UTeM yang merupakan peserta yang berasal dari Cameroon turut mengambil peluang bertanyakan soalan. Jawapan yang diterima peserta daripada Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba sangat memberangsangkan.

Pukul 4.15 petang, sesi penyampaian hadiah oleh Naib Canselor kepada pemenang-pemenang pertandingan aktiviti-aktiviti dalam Festival Membaca 2010 dijalankan. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, persembahan deklamasi puisi secara bergandingan oleh Zaidi Saad, Hasliza Mohamed dan Salleh Mohamed Nor benar-benar menarik perhatian peserta dan mendapat tepukan gemuruh.

Pukul 4.30 petang, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan, Naib Canselor UTeM dijemput untuk menyampaikan ucapan alu-aluannya di mana beliau berpuashati dengan kehadiran peserta serta aktiviti yang dijalankan oleh perpustakaan walaupun terdapat kekangan dari segi ruang dan bajet. Ucapan YB Datuk Haji Ab. Wahab bin Ab. Latip menyusul duapuluh minit kemudian di mana beliau dengan rasminya mewakili Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia merasmikan upacara penutupan Festival Membaca 2010 anjuran Perpustakaan UTeM.

Di akhir majlis, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan menyampaikan cenderahati kepada YB Datuk Haji Ab. Wahab bin Ab. Latip, Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba dan Prof. Dr. Marizan bin Sulaiman.

Pukul 5.15 petang para jemputan khas dibawa ke Bilik Jamuan untuk menikmati hidangan yang disediakan manakala para peserta beredar ke khemah jamuan yang disediakan khas di dataran perpustakaan. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, sesi menandatangani buku-buku yang ditulis oleh Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba diadakan di hadapan kaunter pinjaman. Ramai yang membeli buku-buku dan mengabadikan tandatangan beliau di dalam buku tersebut sebagai tanda kenangan.

Petang itu, lebih daripada RM450.00 hasil jualan buku-buku karangan beliau terjual dengan larisnya dan antara yang mendapat sambutan hangat ialah buku berjudul Seteguh Tekad. Rata-rata peserta yang hadir memuji ketabahan beliau dalam melalui liku-liku hidup untuk berjaya sebagaimana yang diabadikan kisah beliau dalam buku tersebut.

Pukul 5.50 petang, Prof. Dato' Dr. Sidek bin Baba beredar setelah mengadakan sesi fotografi bersama beberapa orang staf perpustakaan dan peserta program.

Secara peribadi aku menganggap keseluruhan program petang itu amat berjaya dan menepati matlamatnya. Terima kasih kepada Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana Festival Membaca 2010 serta staf yang bertungkus-lumus menjayakan keseluruhan program tersebut hingga berjaya.






























































Tiada ulasan:

Catat Ulasan