Sabtu, Oktober 09, 2010

"Berilmu Jalannya Payah"



Di dalam wadah yang dibicarakan oleh Dato' Sidek petang itu, beliau mengajak peserta untuk sama-sama menelusuri waktu silam beliau bermula dari zaman kanak-kanak sehinggalah kepada kedudukan beliau kini. Kisah di mana segala penat lelah yang telah dilalui diceritakan kembali, namun bukan bertujuan untuk mengungkit atau menyesalinya, sebaliknya sekadar menjadi teladan kepada generasi muda masa kini.

Bermula zaman kanak-kanak, bagaimana beliau mengayuh basikal tua orang tuanya sejauh 60 kilometer dari Kampung Pulau, Masjid Tanah ke Sekolah Menengah Inggeris Gajah Berang di bandar Melaka. Pergi balik semata-mata untuk menuntut ilmu. Dan setiap kali beliau menjawab "No Teacher" apabila ditanya oleh guru kelasnya tentang yuran persekolahan sebanyak RM5.00. Beliau pernah dicabar oleh gurunya apabila gurunya berkata "Hey Sidek! You better go back kampung tanam kacang lagi baik". Dalam tangisan beliau tetap tabah dan bersabar.

Dan bagaimana kisah hidup beliau sewaktu menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Idris Tanjung Malim (MPSI) pada tahun 1964, yang kini dikenali sebagai UPSI. Berbekalkan RM40.00 elaun yang diperolehi, satu jumlah yang cukup besar pada ketika itu mengingatkan jasa dan pengorbanan keluarga, beliau mengirimkan RM20.00 kepada keluarga di kampung. Jadi hanya dengan RM20.00 baki itulah yang digunakan dalam mengharungi kehidupan di MPSI. Dato' Sidek mengingatkan peserta bahawa jasa ibu dan bapa jangan dilupakan kerana didalamnya ada BARAKAH.

Kegagalan adalah asam garam kehidupan di mana beliau sendiri pernah mengambil peperiksaan Higher School Certificate sebanyak tujuh kali. Setelah tujuh kali baru berjaya dan kekaguman terhadap Dato' Sidek bila mana beliau turut tidak melupakan pengorbanan isteri dan keluarga dalam memberi sokongan dan dorongan ke atas segala usaha beliau dan cita-citanya dalam memajukan diri terutama mencapai impian untuk segulung kejayaan bernama Doktor Falsafah.

Kehidupan di bumi Amerika bersama anak-anak yang seramai lapan orang dengan menetap di Mosleen House aka Masjid di Universiti dan hidup dengan bergantung pada biasiswa sebanyak USD837.00, dan hanya berbaki US400.37 setelah ditolak segala perbelanjaan menjadikan kehidupan di bumi Uncle Sam amat memerlukan ketabahan yang jitu.

Tahun 1991, Dato Sidek akhirnya berjaya mencapai impiannya mengenggam segulung ijazah Doktor Falsafah dan bergelar Dr. Sidek bin Baba.

Hasil tulisan Qalam Timur yang dipetik dan diolah semula untuk tatapan pembaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan