Pernahkah anda terfikir suatu masa nanti anda akan bertemu jodoh di kalangan teman sepejabat?
Bercinta atau bertemu jodoh di tempat kerja bukan lagi asing dalam masyarakat kita sejak negara mengecapi kemajuan dan golongan wanita diberi peluang untuk terbabit dalam aktiviti ekonomi sama seperti kaum lelaki.
Dengan anggaran pembabitan hampir 50 peratus wanita dalam sektor pekerjaan, golongan lelaki tidak perlu lagi `merantau jauh' untuk mendapatkan calon isteri kerana di tempat kerja sendiri boleh dicari.
Selain sekolah, universiti, tempat sosial hinggalah kemunculan internet sebagai medium pertemuan baru di alaf ini, pejabat tetap menjadi medan strategik bagi sesetengah individu yang mencari-cari pasangan ideal untuk dijadikan teman hidup.
Tidak semua sengaja memburu untuk berhubungan di tempat kerja namun atas pelbagai faktor, kebanyakannya tidak dapat lari daripada sekurang-kurangnya terpikat dengan rakan sekerja.
Bayangkan saja, purata lapan jam sehari, lima hari seminggu atau keseluruhannya kira-kira 240 hari daripada 365 hari dalam setahun. Boleh dikatakan sebahagian besar masa individu berkerjaya dihabiskan di sekitar tempat kerja.
Secara tidak langsung, pejabat atau tempat kerja sahajalah `ruang' kepada golongan yang sibuk bekerja untuk bertemu, berkenalan atau bersosial. Apatah lagi bagi mereka yang menggalas tanggungjawab kerja yang banyak dan rumit hingga tidak berkesempatan untuk mencari calon suami atau isteri di luar daripada kehidupan pejabat.
Ahli psikologi menyatakan, antara faktor seseorang itu boleh jatuh cinta atau bertemu jodoh dengan pasangannya adalah kerana unsur berdekatan dan sering berada serta banyak menghabiskan masa bersama di tempat yang mereka kerap bersua muka.
Berdasarkan teori itu, tidak hairanlah jika ramai pasangan yang boleh jatuh cinta atau bertemu jodoh di tempat kerja sehingga sepakat mendirikan rumah tangga. Bermula usik mengusik, keluar makan dan kerap membuat aktiviti bersama serta bertentang mata setiap hari, tidak mustahil hati mula terpaut. Menamatkan percintaan di pejabat, pasangan akhirnya melangkah ke gerbang perkahwinan. Itu lazimnya.
Tidak dinafikan ada juga yang menolak menjalinkan hubungan serius dengan rakan sekerja kerana tidak yakin hubungan akan berjaya.
Tambahan pula, jika majikan kurang menggalakkan hubungan cinta satu pejabat dan rakan-rakan `menakut-nakutkan' betapa perasaan kasih sayang akan cepat bertukar menjadi bosan. Mana tidaknya, kalau itulah wajah yang dilihat di pejabat, wajah itu juga yang perlu dilihat ketika di rumah. Tetapi, benarkah begitu?
Masing-masing ada pandangan sendiri. Ramai juga hakikatnya rela jika bertemu jodoh di pejabat malah tidak kurang yang menaruh harapan untuknya.
Bagi golongan ini, banyak kebaikan jika bersuami atau beristerikan rakan sepejabat. Boleh menjimatkan perbelanjaan seperti pengangkutan selain lebih memahami tekanan kerja adalah antaranya.
Mengapa teman sekerja? Seseorang mudah jatuh hati dengan rakan sekerja disebabkan beberapa faktor:
Hampir
Seseorang terpikat dengan rakan sekerja kerana rakan sekerja sentiasa ada di sekitar mereka. Kajian mendapati semakin kerap anda bersama seseorang, semakin besar kemungkinan anda akan sukakannya.
Mudah
Bagi kebanyakan yang bujang dan bekerja, hampir keseluruhan masa yang ada disalurkan untuk kerja dan selebihnya untuk rehat. Untuk keluar mencari kekasih tentu memakan masa maka pejabatlah tempat yang paling mudah dan menjimatkan masa untuk tujuan itu.
Keselamatan
Biasanya seseorang itu cukup mengenali rakan sekerja. Personaliti dan kelakuan mereka dapat dilihat melalui gaya, cara berkomunikasi dan keupayaan mengatasi tekanan kerja. Melalui aspek ini, seseorang dapat menilai sama ada rakan itu berbahaya atau tidak.
Kemesraan
Bila bekerjasama untuk sesuatu tempoh yang lama, seseorang akan mudah berkongsi harapan, impian dan masalah dengan rakan sekerja. Kemesraan ini akan mewujudkan kepercayaan antara mereka.
Persamaan
Individu cenderung bekerja dengan orang yang menyamai diri mereka dari pelbagai aspek antaranya kelas sosial, pendidikan, pendapatan, minat dan sikap. Hubungan rakan sekerja berupaya mewujudkan rasa cinta berdasarkan persahabatan rasa hormat.
Hormat
Persamaan dari segi tanggungjawab dan peranan dalam melaksanakan tugas serta menaikkan taraf ekonomi mewujudkan saling kebergantungan dalam hubungan rumah tangga. Dengan itu, golongan lelaki akan lebih menghormati hak dan peranan kaum wanita.
Celaru
Suasana tempat kerja yang kadangkala tertekan, kompetitif atau menyeronokkan akan membuatkan perasaan seseorang menjadi celaru dan biasanya mereka gemar meluahkannya kepada lelaki atau wanita menarik berdekatan.
Selalu Bersama
Perhubungan di tempat kerja biasanya terjadi dalam profesion yang mana pekerjanya akan menghabiskan masa yang lama bekerjasama, dalam suasana yang sama, saat senang dan sukar serta saling bergantung antara satu sama lain dalam hal kerja.
Ada juga berpendapat, lebih baik jika tidak sepejabat.
Bekerja di bawah satu organisasi mungkin memberi kelebihan kepada pasangan suami isteri tapi apa pula pandangan majikan mengenai perkara ini? Tidakkah hubungan begini memberi kesan kepada pengurusan syarikat?
Sesetengah majikan tidak menolak hakikat bahawa jodoh pertemuan tidak dapat dielakkan namun suami isteri yang bekerja di satu pejabat lebih membawa kesan negatif kepada syarikat berbanding positif. Komitmen perhubungan itu, kadangkala menjadi gangguan kepada pasangan suami isteri sedangkan apabila di pejabat, mereka seharusnya memberi tumpuan penuh kepada komitmen kerja.
Ia tidak begitu baik kepada majikan terutama jika pasangan suami isteri itu berada di jabatan yang sama. Jika mereka bertugas di jabatan berbeza, masalahnya mungkin agak kurang. Kadangkala masalah dalam perhubungan terbawa-bawa sehingga ke pejabat dan mempengaruhi tugas serta boleh menimbulkan banyak kerumitan kepada organisasi terutamanya bila membabitkan pasangan yang seorang daripadanya memegang jawatan penting manakala yang seorang lagi bekerja di bawah kuasanya.
Dalam sesetengah perkara berkaitan urusan organisasi, mereka mungkin akan berat sebelah dalam pemberian arahan, tugasan atau mengenakan tindakan jika pasangan itu melakukan kesilapan. Masalah lain yang mungkin timbul ialah apabila pasangan suami isteri itu membuat permohonan cuti. Biasanya, mereka ingin memohon cuti pada hari yang sama hingga memberi masalah kepada pihak pengurusan dari segi penyusunan jadual kerja dan operasi.
Bila ada kecemasan pula, selalunya kedua-duanya memohon cuti lalu membuatkan organisasi kekurangan dua tenaga kerja dalam satu masa. Perkara yang paling sukar adalah bila hendak menukarkan kakitangan itu ke cawangan lain kerana mereka pasti akan merayu supaya tidak ditukarkan atau meminta pasangan mereka ditukarkan bersama.
Pasangan suami isteri yang bertugas di lain syarikat atau bidang lebih beruntung kerana mereka dapat berkongsi ilmu dan pengalaman berbeza, yang mungkin berguna dalam pelaksanaan tugas masing-masing.
Baik buruk hubungan sepejabat
Professor Komunikasi dari Universiti Seattle, Amerika Syarikat, Mara Adelman berpendapat suasana tempat kerja akan suram tanpa hubungan cinta.Hubungan sebegini, katanya, dapat membuatkan ruang korporat yang agak serius supaya lebih beremosi.
Kajian juga mendapati hubungan cinta sesama rakan sekerja dapat meningkatkan produktiviti seseorang pekerja sekali gus menunjukkan hubungan dengan teman sepejabat memberi kebaikan kepada mereka yang menjalinkannya.
Kebaikan
1. Anda tidak perlu lagi membuang masa mencari calon suami atau isteri dan mencuri masa untuk bertemu orang tersayang selepas waktu pejabat atau menunggu masa cuti untuk berjumpa kerana masing-masing dapat bersua di pejabat bila-bila masa yang dimahukan.
2. Peluang untuk mengenali pasangan lebih banyak berbanding jika mereka bekerja di lain pejabat. Dengan itu, masing-masing lebih memahami pasangan masing-masing.
3. Berada di bawah bumbung syarikat yang sama membuatkan kedua-duanya memahami tugas kerja pasangan dan ini dapat mengelak daripada timbulnya konflik akibat tekanan kerja.
4. Selain menjimat masa, perbelanjaan juga dapat dikurangkan. Pasangan boleh berkongsi kereta bersama untuk pergi dan balik kerja.
Namun, menjalin hubungan dengan teman sekerja juga mengundang risiko.
Keburukan
1. Terlalu kerap bertemu, di rumah dan tempat kerja setiap hari boleh menimbulkan rasa jemu yang mungkin menjadi punca pergeseran. Setiap orang memerlukan masa untuk bersendiri, melakukan hobi atau bertemu rakan.
2. Perhubungan ini juga dibimbangi akan mengganggu profesionalisme pekerjaan. Misalnya, jika ada yang memegang jawatan tinggi dan pasangannya pula bekerja di bawah mereka, layanan terhadap pekerja lain mungkin akan berbeza.
3. Mudah dilanda perasaan cemburu. Perhubungan dengan rakan sekerja berlainan jantina terpaksa dibataskan kerana bimbang pasangan akan cemburu. Sedikit sebanyak ia akan menggugat kebebasan bekerja dan mengganggu kelancaran kerja.
4. Perhubungan akan sentiasa menjadi perhatian rakan sekerja di sekeliling. Sedikit hal berbaur negatif boleh menjadi buah mulut sepejabat.
5. Masalah dalam perhubungan atau jika keduanya berpisah, ditakuti memberi kesan kepada prestasi kerja.
Panduan bagi suami dan isteri yang bekerja satu pejabat:
1. Jika boleh, kedua-duanya bekerja di lain jabatan.
2. Mereka bukan ketua atau anak buah kepada pasangan.
3. Bekerjalah di syarikat yang besar hingga sukar bertemu di pejabat.
4. Masing-masing memahami risiko hubungan ini dan sentiasa bersikap profesional walau apapun berlaku.
5. Jika ada masalah di rumah selesaikan di rumah dan jika ada masalah di pejabat jangan bawa balik ke rumah. Pasangan suami dan isteri perlu profesional menangani antara masalah di pejabat dan di rumah.
6. Suami dan isteri perlu bijak merancang kerja di pejabat dan jangan gunakan waktu kerja untuk membincang hal keluarga.
7. Apabila bekerja satu pejabat, suami dan isteri perlu juga bersosial dengan rakan sekerja yang lain dan jangan sepanjang masa menghabiskan masa berdua saja.
8. Apabila berlaku perkara yang kurang disenangi khususnya membabitkan pasangan dengan rakan sekerja lain, jangan bertindak melulu sebaik-baiknya siasat terlebih dulu dan bersemuka dengan pihak berkenaan.
Jatuh cinta atau bertemu jodoh di tempat kerja bukanlah suatu kesalahan kerana rasa cinta itu kurniaan Allah SWT yang paling agung kepada hambaNya. Terpulanglah kepada kita untuk memikirkannya....
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
12 tahun yang lalu
artikel yang sangat menarik...!! ;)
BalasPadamPengalaman masa lalu dan panduan bagi bakal melaluinya....
BalasPadam