Khamis, September 08, 2011

Hari Raya Keenam - Menziarahi Bibik Dan Mak Itam

Ahad, 4 September 2011. Kemeriahan sambutan hari raya semakin berkurangan. Anak-anak perlu mengubah minda mereka daripada bercuti kepada bersekolah. Persiapan persekolahan anak-anak seperti kasut, baju dan beg sekolah perlu disediakan.

Kami bercadang untuk menziarahi Bibik Che Empah dan Mak Itam pada sebelah petang sewaktu menghantar Arif pulang ke asrama. Arif pula seperti keberatan untuk pulang ke asrama kerana bimbang ramai pelajar yang tidak pulang ke asrama petang itu. Kami memujuknya untuk segera bersiap dan pukul 4.00 petang kami bergerak ke Bukit Gedong, Melaka.



Sesampainya kami, hanya Bibik Che Empah bersama anak perempuannya di rumah. Bibik merupakan kakak kepada ayah aku dan hanya mereka berdua yang masih hidup. Selepas bersalaman, kami berbual. Kami dihidangkan dengan mee goreng. Rumah ibu Bibik baru sahaja siap sebelum raya di mana kosnya mencecah hampir RM90,000.00. Terfikir pula aku kos membina rumah baru barangkali lebih murah daripada kos mengubahsuai rumah. Yang penting anak-anak sanggup 'menderma' kos pengubahsuaian rumah beliau.
















Selepas setengah jam bersembang, kami meminta diri untuk ke rumah Mak Itam di sebelah rumah Bibik. Secara kebetulan, Mak Itam baru sahaja pulang ke rumah. Anak-anak Mak Itam sudahpun pulang ke rumah masing-masing. Yang ada hanya beberapa orang anak beliau yang tinggal dengannya.

Pukul 5.30 petang, kami meminta diri kerana perlu menghantar Arif ke asrama. Raya seakan-akan sudah berakhir. Semua perlu kembali kepada asal. Yang bersekolah akan ke sekolah, yang bekerja harus ke tempat kerja dan yang masih bercuti, rancangkanlah aktiviti yang sesuai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan